Thursday 26 June 2014

Kisah Nabi Ismail a.s dan Kedua Isterinya

Lelaki mulia itu memang sudah tua. Tapi, dia masih mampu berjalan cukup jauh, melintasi gurun pasir dan pembukitan untuk berkunjung ke Tanah Suci; Makkah; berkunjung ke rumah Nabi Ismail a.s.

Matahari siang itu membuat peluh lelaki mulia itu menitis, ketika dia sampai di rumah Nabi Ismail. Dia menyeka peluhnya dan menarik nafas panjang. Ada perasaan lega setekag menempuh perjalanan jauh dan mencabar itu akhirnya dia sampai juga di sebuah rumah sederhana  tersebut.

Lelaki mulia itu mengucapkan salam. Seorang wanita muda membukakan pintu, dan menyambut kehadirannya dengan kaku. Maklum, sebelumnya, dia tidak pernah melihat dan mengenali lelaki mulia itu. Kala itu, Hajar sudah meninggal dunia, dan lelaki itu menanyakan keadaan Nabi Ismail.

"Dia sedang keluar mencari nafkah buat kami," jawab wanita itu yang dalam sebuah riwayat disebutkan  bernama Ammarah binti Sa'ad.

"Bagaimana kehidupan kalian berdua?,'' tanya lelaki mulia itu dengan santun dan penuh perhatian.

"Kami hidup dalam kesusahan dan penderitaan," jawab isteri Nabi Ismail dengan wajah getir. Dan wanita itu bercerita tanpa ada rasa sesal ketika ia membuka aib dan kekurangan keluarga di hadapan orang yang tak dikenalinya.

Setelah mendengar jawapan dari wanita itu, lelaki mulia itu digulung rasa kesedihan. Tetapi, dia merasa tak perlu bertanya lebih jauh lagi. Dia sudah memiliki gambaran dari jawapan wanita itu, kemudian meminta diri untuk pulang.

"Jika suamimu nanti sudah pulang, tolong sampaikan salamku kepadanya. Juga, sampaikan kepadanya agar dia mengganti daun pintu!"

Isteri Nabi Ismail berjanji akan mengingat dan menyampaikan pesanan itu, jika Nabi Ismail pulang ke rumah. Tetapi, ia sama sekali tidak tahu jika pesan itu sebenarnya sebuah perumpamaan sahaja. Setelah hari hampir senja, Nabi Ismail baru sampai ke rumah. "Apakah tadi ada seseorang yang datang ke rumah kita"?

"Ya, tadi rumah kita kedatangan seorang tetamu lelaki yang sudah tu," jawab isteri Nabi Ismail, seraya menerangkan ciri-ciri tetamu yang datang itu. "Bahkan, dia juga menanyakan tentang keadaanmu, dan aku telah menjawab sebagaimana adanya."

Nabi Ismail berusaha meneka siapakah tetamu yang datang ke rumahnya dan bertemu dengan isterinya itu. Tapi dari gambaran dan keterangan yang diberikan oleh isterinya itu, Nabi Ismail yakin bahawa tetamu yang datang itu tidak lain adalah seseorang yang dekat, bahkan cukup mengenal Nabi Ismail lebih dari siapa pun.  Nabi Ismail tidak ragu-ragu dengan tetamu itu.

"Tamu tadi juga menanyakan tentang kehidupan kita dan aku telah memberitahunya jika kehidupan kita sedang susah dan menderita,"jelas isterinya.

"Apakah dia mewasiatkan sesuatu?"

"Ya, tetamu itu mewasiatkan agar engkau menggantikan daun pintu rumah kita."

"Sebenarnya yang datang itu adalah ayahku. Dan, maksud di balik pesanannya agar aku mengganti daun pintu, tidak lain, adalah agar aku berpisah denganmu."

Nabi Ismail pun benar-benar memenuhi wasiat itu iaitu Nabi Ibrahim a.s. Dan tak selang lama kemudian, Nabi Ismail berkahwin lagi dengan wanita yang lain.


  ******

Waktu terus berlalu. Nabi Ismail telah menceraikan isteri pertamanya, dan hidup damai dan bahagia bersama isteri keduanya - yang dalam satu riwayat disebutkan bernama Bintu Mudhadh ibn Amru al-Jurhumi.

Nabi Ibrahim sudah lama tidak berkunjung ke rumah Nabi Ismail. Hingga suatu hari, lelaki mulia itu kembali datang, mengunjungi rumah anaknya. Tetapi, ditakdirkan juga Nabi Ibrahim tidak bertemu dengan Nabi Ismail, kecuali hanya bertemu isteri baru Nabi Ismail.

Sebagaimana yang dilakukan Nabi Ibrahim pada isteri Nabi Ismail yang terdahulu, kali ini Nabi Ibrahim kembali bertanya kepada isteri Nabi Ismail itu tentang keberadaan suaminya.

"Dia sedang keluar mencari nafkah untuk kami," jawab isteri Nabi Ismail.

"Bagaimana kehidupan kalian berdua?"

"Kami baik-baik saja dan selalu diberi kemudahan."

Setelah mendengar jawapan isteri Nabi Ismail yang baru itu, Nabi Ibrahim bersyukur dan memuji kepada Allah. "Lalu, apa makanan sehari-hari kalian?"

"Daging dan air," jawab isteri Nabi Ismail.

Jawapan itu sudah cukup memuaskan Nabi Ibrahim, dan lelaki mulia itu memutuskan untuk meminta diri pulang. TApi sat mahu meninggalkan rumah puteranya itu, Nabi Ibrahim berpesan, "Jika suamimu pulang, tolong sampaikan salamku, dan katakan kepadanya agar dia mempertahankan daun pintu."

Sepulang Nabi Ibrahim, Nabi Ismail tiba di rumah."Apakah rumah kita telah kedatangan seorang tetamu?"

"Ya, tetamu itu seorang tua,"jawab isteri Nabi Ismail seraya menjelaskan dan menerangkan tentang ciri-ciri tetamu yang datang itu.

Dari ciri-ciri yang disebutkan itu, Nabi Ismail pun tahu bahawa yang datang ke rumahnya itu tak lain tak bukan adalah ayahandanya, yakni Nabi Ibrahim a.s.

"Apakah dia mewasiatkan sesuatu kepadamu?"

"Ya, dia mewasiatkan kepadaku agar engkau tidak mengganti daun pintu, melainkan diminta untuk mempertahankannya."

"Tetami itu adalah ayahku. Ia mewasiatkan kepadaku agar aku tidak menceraikanmu,"ujar Nabi Ismail.

Nabi Ismail memenuhi wasiat Nabi Ibrahim, tidak menceraikan isterinya. Itulah ketaatan Nabi Ismail kepada ayahnya. Dari isteri keduanya itu, Nabi Ismail dikurnai dua belas anak. Dua belas anak itu adalah Nait, Qaidzar, Izel, Maesyi, Musmi, Masyi, Dausha, Arar, Yathur, Nabasy, Thaima dan Qaidzma.

******

Petikan dari Majalah Hidayah keluaran Mac 2013.

No comments:

Post a Comment