Thursday 26 June 2014

Kisah Nabi Ismail a.s dan Kedua Isterinya

Lelaki mulia itu memang sudah tua. Tapi, dia masih mampu berjalan cukup jauh, melintasi gurun pasir dan pembukitan untuk berkunjung ke Tanah Suci; Makkah; berkunjung ke rumah Nabi Ismail a.s.

Matahari siang itu membuat peluh lelaki mulia itu menitis, ketika dia sampai di rumah Nabi Ismail. Dia menyeka peluhnya dan menarik nafas panjang. Ada perasaan lega setekag menempuh perjalanan jauh dan mencabar itu akhirnya dia sampai juga di sebuah rumah sederhana  tersebut.

Lelaki mulia itu mengucapkan salam. Seorang wanita muda membukakan pintu, dan menyambut kehadirannya dengan kaku. Maklum, sebelumnya, dia tidak pernah melihat dan mengenali lelaki mulia itu. Kala itu, Hajar sudah meninggal dunia, dan lelaki itu menanyakan keadaan Nabi Ismail.

"Dia sedang keluar mencari nafkah buat kami," jawab wanita itu yang dalam sebuah riwayat disebutkan  bernama Ammarah binti Sa'ad.

"Bagaimana kehidupan kalian berdua?,'' tanya lelaki mulia itu dengan santun dan penuh perhatian.

"Kami hidup dalam kesusahan dan penderitaan," jawab isteri Nabi Ismail dengan wajah getir. Dan wanita itu bercerita tanpa ada rasa sesal ketika ia membuka aib dan kekurangan keluarga di hadapan orang yang tak dikenalinya.

Setelah mendengar jawapan dari wanita itu, lelaki mulia itu digulung rasa kesedihan. Tetapi, dia merasa tak perlu bertanya lebih jauh lagi. Dia sudah memiliki gambaran dari jawapan wanita itu, kemudian meminta diri untuk pulang.

"Jika suamimu nanti sudah pulang, tolong sampaikan salamku kepadanya. Juga, sampaikan kepadanya agar dia mengganti daun pintu!"

Isteri Nabi Ismail berjanji akan mengingat dan menyampaikan pesanan itu, jika Nabi Ismail pulang ke rumah. Tetapi, ia sama sekali tidak tahu jika pesan itu sebenarnya sebuah perumpamaan sahaja. Setelah hari hampir senja, Nabi Ismail baru sampai ke rumah. "Apakah tadi ada seseorang yang datang ke rumah kita"?

"Ya, tadi rumah kita kedatangan seorang tetamu lelaki yang sudah tu," jawab isteri Nabi Ismail, seraya menerangkan ciri-ciri tetamu yang datang itu. "Bahkan, dia juga menanyakan tentang keadaanmu, dan aku telah menjawab sebagaimana adanya."

Nabi Ismail berusaha meneka siapakah tetamu yang datang ke rumahnya dan bertemu dengan isterinya itu. Tapi dari gambaran dan keterangan yang diberikan oleh isterinya itu, Nabi Ismail yakin bahawa tetamu yang datang itu tidak lain adalah seseorang yang dekat, bahkan cukup mengenal Nabi Ismail lebih dari siapa pun.  Nabi Ismail tidak ragu-ragu dengan tetamu itu.

"Tamu tadi juga menanyakan tentang kehidupan kita dan aku telah memberitahunya jika kehidupan kita sedang susah dan menderita,"jelas isterinya.

"Apakah dia mewasiatkan sesuatu?"

"Ya, tetamu itu mewasiatkan agar engkau menggantikan daun pintu rumah kita."

"Sebenarnya yang datang itu adalah ayahku. Dan, maksud di balik pesanannya agar aku mengganti daun pintu, tidak lain, adalah agar aku berpisah denganmu."

Nabi Ismail pun benar-benar memenuhi wasiat itu iaitu Nabi Ibrahim a.s. Dan tak selang lama kemudian, Nabi Ismail berkahwin lagi dengan wanita yang lain.


  ******

Waktu terus berlalu. Nabi Ismail telah menceraikan isteri pertamanya, dan hidup damai dan bahagia bersama isteri keduanya - yang dalam satu riwayat disebutkan bernama Bintu Mudhadh ibn Amru al-Jurhumi.

Nabi Ibrahim sudah lama tidak berkunjung ke rumah Nabi Ismail. Hingga suatu hari, lelaki mulia itu kembali datang, mengunjungi rumah anaknya. Tetapi, ditakdirkan juga Nabi Ibrahim tidak bertemu dengan Nabi Ismail, kecuali hanya bertemu isteri baru Nabi Ismail.

Sebagaimana yang dilakukan Nabi Ibrahim pada isteri Nabi Ismail yang terdahulu, kali ini Nabi Ibrahim kembali bertanya kepada isteri Nabi Ismail itu tentang keberadaan suaminya.

"Dia sedang keluar mencari nafkah untuk kami," jawab isteri Nabi Ismail.

"Bagaimana kehidupan kalian berdua?"

"Kami baik-baik saja dan selalu diberi kemudahan."

Setelah mendengar jawapan isteri Nabi Ismail yang baru itu, Nabi Ibrahim bersyukur dan memuji kepada Allah. "Lalu, apa makanan sehari-hari kalian?"

"Daging dan air," jawab isteri Nabi Ismail.

Jawapan itu sudah cukup memuaskan Nabi Ibrahim, dan lelaki mulia itu memutuskan untuk meminta diri pulang. TApi sat mahu meninggalkan rumah puteranya itu, Nabi Ibrahim berpesan, "Jika suamimu pulang, tolong sampaikan salamku, dan katakan kepadanya agar dia mempertahankan daun pintu."

Sepulang Nabi Ibrahim, Nabi Ismail tiba di rumah."Apakah rumah kita telah kedatangan seorang tetamu?"

"Ya, tetamu itu seorang tua,"jawab isteri Nabi Ismail seraya menjelaskan dan menerangkan tentang ciri-ciri tetamu yang datang itu.

Dari ciri-ciri yang disebutkan itu, Nabi Ismail pun tahu bahawa yang datang ke rumahnya itu tak lain tak bukan adalah ayahandanya, yakni Nabi Ibrahim a.s.

"Apakah dia mewasiatkan sesuatu kepadamu?"

"Ya, dia mewasiatkan kepadaku agar engkau tidak mengganti daun pintu, melainkan diminta untuk mempertahankannya."

"Tetami itu adalah ayahku. Ia mewasiatkan kepadaku agar aku tidak menceraikanmu,"ujar Nabi Ismail.

Nabi Ismail memenuhi wasiat Nabi Ibrahim, tidak menceraikan isterinya. Itulah ketaatan Nabi Ismail kepada ayahnya. Dari isteri keduanya itu, Nabi Ismail dikurnai dua belas anak. Dua belas anak itu adalah Nait, Qaidzar, Izel, Maesyi, Musmi, Masyi, Dausha, Arar, Yathur, Nabasy, Thaima dan Qaidzma.

******

Petikan dari Majalah Hidayah keluaran Mac 2013.

Monday 23 June 2014

Syaidina Muhammad S.A.W

Bab 1 : Syaidina Muhammad S.A.W

1. Siapakah Syaidina Muhammad?

Dia adalah Rasulullah (yakni Utusan Allah) kepada sekelian alam. Dia penyudah sekalian nabi dan imam sekelian rasul.

2. Apakah agama yang dibawanya?

Dia membawa agama Islam, agama yang diterima Allah pada hari Kiamat yang pada hari itu Allah tidak menerima agama yang lain daripadanya.

3. Dari manakah keturunannya?

Dia adalah dari keturunan bangsawan Quraisy iaitu suatu keturunan dari semulia-mulia golongan di Tanah Mekah.

4. Dengan siapakah berhubung keturunannya?

Keturunannya berhubungan dengan Nabi Ismail Bin Ibrahim A.S.


Saturday 21 June 2014

Waktu Kelas Belajar Agama

Assalamualaikum.

Di sini saya ingin sampaikan waktu kelas belajar agama. Kami belajar agama pada hari Selasa, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Ada dua sesi iaitu sesi malam dan siang. Sesi malam adalah pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat. Kelas bermula pada pukul 7.00 petang hingga 9.00 malam. Jadi kami akan solat secara berjemaah di Surau Tongkah Dalam, Morib. Kebiasaannya budak-budak dari tahfiz yang berdekatan turut sama solat secara berjemaah.

Bagi sesi siang pula adalah pada hari Sabtu dan Ahad bermula pukul 4.30 hingga 6.30 petang. Guru yang mengajar kami adalah Ustaz Isron Bin Miskiran merangkap imam Masjid Morib, Banting. Terdapat lebih kurang 15 orang pelajar belajar agama di surau ini. 

Insyaallah jika kudrat ustaz masih baik, kami akan belajar dengan ustaz.

Catatan Sirah Nabi

Assalamualaikum.

Catatan sirah nabi adalah catatan berkaitan tentang perjalanan kehidupan nabi junjungan mulia kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Saya akan mencatat segala apa yang disampaikan oleh ustaz yang mengajar kami. Mengikut makluman, ustaz hanya menyampaikan segala maklumat yang diperolehinya dari buku sirah nabi dari simpanan beliau. Buku itu sudah terlalu uzur maka adalah lebih baik disampaikan pada anak muridnya dengan menyalin semula segala maklumat dalam buku sirah nabi itu.

Alhamdulillah saya sudah menyalin semula segala ilmu dan maklumat diperolehi ke dalam buku latihan saya. Dengan adanya blog, maka kerjanya makin mudah bagi saya untuk dijadikan rujukan di kemudian hari. 


Insyaallah saya akan kongsikan segala catatan sirah nabi ini di dalam blog ini. Assalamualaikum.


Tuesday 17 June 2014

Niat puasa bulan Ramadhan

Memandangkan bulan Ramadhan akan tiba tidak lama lagi, jadi sama-samalah kita recall niat puasa di bulan Ramadhan ni. Ustaz yang mengajar agama di Surau di Morib pun ada mengingatkan kepada semua pelajar tentang niat puasa ni. Mungkin ada sesetengah mualaf baru atau lama sudah lupa tentang niat bulan puasa ni. Al-maklumlah puasa Ramadhan hanya sekali dalam setahun. Apa salahnya kita belajar niat puasa ni.

Di sini saya hanya sertakan gambar sebagai panduan kepada semua. Harap dijadikan rujukan.



Untuk niat puasa yang berwarna biru itu perlu dilafazkan setiap hari tak kisahlah lepas Isyak ke, lepas solat terawih ke tapi pastikan sebelum subuh manakala yang berwarna itu maroon itu dilafazkan semasa hari pertama jatuhnya bulan puasa tetapi niat puasa di atas itu tetap dilafazkan setiap hari ye. 

Harap bermanfaat.:)

Sunday 15 June 2014

Aku dan Saya

Assalamualaikum,

Sebelum saya membuat apa-apa posting, izinkan saya untuk membicarakan tentang penggunaan saya dan aku. Saya ingin memohon maaf jika posting yang seterusnya saya menggunakan kata 'aku' dan kadang-kadang menggunakan kata 'saya'. Ikut mood saya jugak. Kadang-kadang terlalu menggunakan ayat skema sangat pun tak best gak. Apa salahnya guna perkataan aku. 

Mungkin pada orang lain ia agak kurang sesuai digunakan di blog berunsurkan Islam ni. Tapi anda harus terima kerana saya juga manusia biasa. Untuk posting ini saya menggunakan ayat yang skema. 

Jadi saya mohon maaf jika ada yang kurang suka ke ek. Assalamualaikum.


Thursday 12 June 2014

Mukadimah i-Mualaf, Catatan Seorang Mualaf

Assalamualaikum

Alhamdulillah tanggal 11 haribulan Jun terciptalah sebuah blog agama yang dinamakan sebagai i-mualaf. Blog ini hanyalah catatan seorang yang bergelar mualaf di mana saya sentiasa beristiqamah belajar mendalami ilmu agama setelah memeluk agama yang suci ini iaitu agama Islam.

Insyaallah saya akan cuba kemaskini blog ini setiap hari jika tiada aral yang melintang. Tujuan saya mewujudkan blog ini adalah untuk dijadikan sebagai rujukan di masa hadapan kerana kadang-kadang kita mudah lupa apa yang kita pelajari pada hari ini. Mudah-mudahan infomasi dan ilmu yang bakal dikongsikan ini menjadi rujukan pada orang lain.

Kenapa nama blog i-Mualaf? 

Baiklah saya akan terangkan kenapa saya menggunakan nama i-mualaf. Sebenarnya saya ingin menggunakan nama akumualaf sebagai nama blog tetapi setelah saya cuba masukkan nama blog itu ternyata nama itu telah digunakan oleh orang lain. Jadi saya pun cubalah menukarkan aku itu kepada I (saya) dan mualaf. Maksudnya sayamualaf. Dan sekarang, wujudlah i-mualaf. Alhamdulillah. 

Sebenarnya sudah lama saya menanam niat nak mewujudkan blog berunsurkan agama ini kerana saya ingin berkongsi apa yang saya pelajari selama saya belajar ilmu agama Islam ini di sebuah surau di Morib. Apa salahnya saya mencatat apa yang saya pelajari bukan? Dan kini saya mula mengorak langkah pertama dengan mewujudkan blog ini. 

Sampai di sini saja catatan pada hari ini. Insyaallah saya akan ceritakan bagaimana saya memeluk agama yang suci ini dan menjadi seorang mualaf di masa yang lain. Terima kasih pada yang sudi menjengah blog yang biasa ini.